Google

Kamis, 10 April 2008

Solat Dalam Kapal Terbang

1. Solat Dalam Kapal TerbangSoalan: Saya ingin tahu kedudukan Kiblat semasa berada dalam kapal terbang? Mungkin saudara dapat bantu saya. Sekian terima kasih.
Azis, UKM
Jawapan: Di dalam kenderaan sekiranya dalam keadaan darurat sehingga tidak dapat berdiri atau tiada disediakan tempat khas untuk solat maka berkiblat setakat mana yang boleh.
Bagi penumpang kenderaan lain misalnya keretapi atau kapal laut maka hendaklah menghadap kiblat semasa takbirratulihram, kemudian bolehlah menghadap ke arah lain mengikut peralihan kenderaan.

2. Rahsia 'Asma ul-Husna'Soalan: Apakah rahsia disebalik 99 nama Allah "Asma ul-Husna"? Harap tuan jelaskan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini.
Nawaf, Kajang
Jawapan: Allah SWT mempunyai nama-nama yang baik yang disebut dengan Asma ul-Husna. Nama-nama yang baik itu ada 99. Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang menghafalnya maka ia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (tidak genap) dan menyukai perkara yang ganjil". (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Allah SWT berfirman maksudnya: "Katakanlah, serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru. Dia mempunyai Asma ul-Husna (nama-nama yang baik}". (Al Isra' 110) Kita boleh berzikir dengan menyebut nama-nama Allah yang baik itu, kerana setiap nama Allah itu mengandungi fadhilat dan keutamaan. Jika kita tekun mengamalkannya maka akan memperoleh ganjaran yang besar di dunia mahupun di akhirat. Sila rujuk buku:1. Asmaul Husna Rahsia dan Amalannya
3. Taubat Anak Terhadap Ibu yang Telah Meninggal Soalan: Assalamualaikum. Tuan, seorang sahabat telah bermimpi bertemu dengan ibunya selepas dia menunaikan sembahyang hajat dua raakaat. Didalam mimpi tersebut si anak memohon maaf dengan ibunya tentang dosa yang pernah dilakukannya sebelum ibunya meninggal dunia dahulu dan ibunya menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk memaafkannya (didalam mimpi). Soalannya, adakah taubatnya diampunkan oleh Allah s.w.t.?
Hamba Allah, Beranang
Jawapan: Derhaka kepada ibu ataupun bapa merupakan dosa besar. Ibu adalah orang yang paling besar pengorbanannya dalam membesarkan anak-anaknya, jadi tidak ada sesuatupun yang dapat membalas kebaikan dan perjuangan seorang ibu. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya (bercerai susu) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada dua orang ibu bapamu; hanya kepada Ku lah kamu kembali". (Surah Lukman ayat 14) Jika kita telah terlanjur derhaka kepada ibu sedangkan ibu tersebut telah meninggal dunia, maka bertaubatlah setelah itu lakukanlah kewajipan kita sebagai seorang anak. Berbuat baiklah kepadanya dengan mendoakannya serta mengerjakan segala perintah Allah dengan demikian kita telah meringankan bebannya di alam barzakh. Sesungguhnya doa anak yang soleh dan telah bertaubat kepada Allah sangat diharapkan oleh seorang ibu. Setelah kita lakukan taubat dan berbuat baik kepada ibu dengan cara mendoakannya, sedekah untuknya, menjalinkan silaturrahim teman sejawatnya, maka kita serahkan segalanya kepada Allah. Hanya Allah sahajalah yang menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.

4. Imam MahdiSoalan: Apakah erti Imam Mahadi? Adakah ia sama seperti mazhab?
Roslinda, Puchong
Jawapan: Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa diantara tanda-tanda dunia hampir kiamat akan turunnya Imam Mahdi yang berperanan sebagai penerus dan penegak kebenaran agama Islam. Ia datang bukan membawa ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Islam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman, namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad bin Abdullah" (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Dalam hadis yang lain disebutkan:"Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahli kerabat atau keluarga Rasulullah SAW yakni dari puteri baginda yang bernama Fatimah". (Riwayat Abu Daud dan Hakim) Jelaslah bahawa Imam Mahdi seorang lelaki yang turun ketika dunia hampir kiamat. Setelah itu baru turun Nabi Isa as. Imam Mahdi dan Nabi Isa turun bukan membawa ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Peringatan Di Akhir Zaman DN 1022. Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa as DN 189
Mengenai mazhab pula, ilmu fiqh yang diajarkan para sahabat dan para tabi'in tidak beku bahkan berkembang terus. Jika tidak dijumpai nas dalam menyelesaikan sesuatu perkara mereka menetapkan berdasarkan ilmu pengetahuan tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab (illat) sewaktu hendak memberikan fatwa-fatwa. Untuk kita ketahui pendapat tabi'in bermacam-macam ini adalah disebabkan berlainan tempat atau keadaan negeri masing-masing, disamping mempunyai kekurangan dan kelebihan tentang memahami maksud-maksud Al Quran dan Hadis. Hasil dari berlainan keadaan atau situasi ini maka tiap-tiap orang alim ilmu fiqh dari golongan tabi'in mempunyai beberapa pendapat yang berlainan dan inilah yang dinamakan mazhab.
Di zaman sekarang nama imam-imam yang empat telah terkenal dan masyhur. Mereka adalah bagaikan bulan purnama yang dikelilingi oleh beberapa bintang-bintang yang berkelipan. Semua mazhab yang empat ini beraqidahkan ahlisunnah waljamaah. Ertinya sumber ajaran yang diterapkan tidak lari dari ketentuan Al Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah.
Jelaslah bagi kita bagaimana proses mazhab itu terjadi, jadi jika kita tidak mengikuti atau berpegang salah satu jalan maka kita akan teraba-raba dalam mencari kebenaran, akhirnya kita menjadi sesat.

5. Kekuatan 'Jiwa Dalam'Soalan: Bagi orang yang bukan Islam (cina) mereka ada tenaga dalam mereka yang digelar "chi" dan dipercayai wujud di dalam setiap diri manusia. Soalan saya ialah apakah rahsia kekuatan tenaga dalam bagi orang Islam, bolehkah tuan huraikan secara lanjut tentang setiap perkara yang berkaitan dalam hal ini?
Mat, Kajang
Jawapan: Agama Islam agama yang sempurna mengandungi segala aspek kehidupan. Untuk memperoleh sesuatu yang dimaksudkan, Islam menganjurkan kita agar menuntut ilmu pengetahuan. Melalui ilmulah segala sesuatu dapat dicapai menurut syarat dan tujuannya. Orang sufi mempunyai penafsiran sendiri mengenai ilmu. Menurut Imam Ghazali ilmu itu dapat dibahagikan kepada ilmu mukasyafah iaitu ilmu yang dipelajari semata-mata untuk memperoleh pengetahuan. Kemudian ilmu muamalah iaitu ilmu yang dipelajari untuk diamalkan.
Bagi orang sufi ilmu yang berfaedah itu ialah ilmu pengamalan iaitu ilmu muamalah. Ilmu ini terbahagi kepada ilmu lahir iaitu segala ilmu yang diamalkan dengan anggota manusia dan ilmu batiniah iaitu segala ilmu yang bersangkut paut dengan keadaan 'jiwa dalam' dan hati manusia. Lalu kita kenallah dalam tasauf ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat.
Syariat pada mulanya bererti peraturan-peraturan agama yang diturunkan Allah. Dikalangan kaum sufi menafsirkan syariat sebagai amal ibadah lahir dan urusan muamalat. Tarekat menurut maksud sufi iaitu seseorang tidak akan sampai hakikat tujuan ibadah itu sebelum menempuh jalan yang dinamakan tariqat. Dalam bahasa disebut tarekat atau suluk dan orang yang melakukan itu dinamakan ahli tariqah atau salik. Tujuan daripada tarekat itu ialah mempertebal iman dalam hati pengikutnya, sehingga tidak ada yang lebih indah dan dicintai selain daripada Allah, dan kecintaan itu melupakan dirinya dan dunia seluruhnya.
Dalam menjalani proses tariqah ini kita harus bersih segala amal dan niat (ikhlas), merasa diri sentiasa diawasi Allah (muraqabah), menghitung amalnya dari sudut untung dan rugi (muhasabah), tajarrud, melepaskan diri apa jua yang akan merintangi sehingga sampai keperingkat rindu dan cinta yang tanpa batas kepada Allah SWT.
Hakikat adalah kebenaran dan Haq itu bagi orang sufi dipakai istilah untuk Allah yang dianggap pokok atau dasar dari segala kebenaran. Menurut keyakinan sufi hakikat itu baru dapat dicapai sesudah orang beroleh makrifat yang sebenar-benarnya. Oleh kerana itu Haqqul Yaqin hanya dapat dicapai orang di dalam fana iaitu sesudah melalui dua tingkat keadaan: 1. ainul yaqin dan 2. ilmul yaqin. Mula-mula manusia itu mencari sesuatu itu dengan ilmunya kemudian barulah ia sampai kepada keyakinan akal, kehendak, angan-angan dan jiwanya, maka barulah ia memperoleh haqqul yaqin iaitu kebenaran yang sebenar-benarnya diyakini yang dapat menenteramkan dan memuaskan hatinya.
Orang sufi mempertahankan bahawa dalam tingkat fana iaitu dalam keadaan lenyap segala tubuh yang kasar itu, betullah ia beroleh mahjub atau mengenal Allah dengan mata hatinya dan memperolehinya secara haqqul yaqin, kerana hanya dalam keadaan yang demikian itulah terbuka baginya apa yang tertutup sehingga mencapai kasyful mahjub iaitu tersingkap tirai yang merintangi seorang hamba dengan Khaliqnya.
Istilah kasyful mahjub atau 'kasyaf' inilah yang mungkin sama dengan istilah 'chi'. Dalam bahasa biasa dikenal dengan khusyuk atau kosentrasi.
Di dalam Islam peringkat kekhusyukan ini sebenarnya melebihi daripada chi yang dimiliki oleh pengamalan orang cina. Kerana masih ada lagi peringkat yang paling tinggi untuk menuju kepada kekhusyukan itu iaitu peringkat makrifat. Peringkat ini sebenarnya dapat kita ertikan dengan mengenal Allah SWT, kenal kepada-Nya mengenai Zat-Nya, sifat-Nya dan asma-Nya.
Sebetulnya jika kita ingin mendalami pengetahuan masalah tasauf atau ilmu tarekat dalam Islam hendaklah kita membaca buku-buku tentang tasauf. Seandainya ingin mengamalkan ilmu tasauf carilah guru yang mursyid yang benar-benar menjalankan ajaran Islam bukan mursyid yang sesat. Sila rujuk buku-buku di dalam senarai Kategori Tasauf

6. Mengganti Puasa Mereka yang Meninggal DuniaSoalan: Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Semasa hayatnya dia jarang berpuasa. Kemusykilan saya, adakah wajib saya sebagai anaknya atau ibu saya, untuk menqadakan puasanya ataupun bagaimanakah caranya saya harus menyelesaikan masalah ini? Untuk pengetahuan tuan saya tidak tahu berapa harikah dia tidak berpuasa. Setahu saya terlalu banyak.
Salmah, Segamat
Jawapan: Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hr. Tarmizi daripada Ibnu Umar) Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadhan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qadha atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqadhakan oleh wali atau warisnya". (HR Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

7. Puasa Nazar Disekalikan Puasa SunatSoalan: Bolehkah puasa nazar disekalikan dengan puasa sunat?
Salamah, Kepong
Jawapan: Barangsiapa bernazar (berniat atau berjanji dengan Allah) ingin berpuasa sehari atau lebih untuk mensyukuri nikmat Allah SWT atau jika sembuh dari sakit, atau diperkenankan suatu maksudnya yang baik bukan maksiat maka wajib atasnya untuk mengerjakannya. Jadi puasa nazar adalah puasa wajib yang harus dikerjakan secara sendiri sesuai dengan yang dinazarkan maka tidak boleh disekalikan dengan niat-niat yang lain. Mengenai nazar ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa bernazar akan mentaati Allah, maka hendaklah ia mentaatiNya dan barangsiapa bernazar akan menderhakai Allah, maka janganlah ia menderhakainya". (HR. Abu Daud dari Aisyah)

8. Memuaskan Nafsu Syahwat Cara OnaniSoalan: Apakah hukumnya memuaskan nafsu syahwat dengan sendiri hingga keluar air mani. Adakah ianya termasuk dalam dosa dosa besar (berzina), apakah hukumnya dan bagaimanakah caranya untuk bertaubat?
Hamba Allah, Beranang
Jawapan: Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya sendiri termasuk suatu perkara yang merosak unsur etika dan adab. Para ulama sendiri berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain mengatakan haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya makruh.
Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan mereka adalah bahawa Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak isteri. Dalam ayat Al Quran dijelaskan: "Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas". (Al Mukminun ayat 5 - 7) Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi. Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang dikhuatirkan akan berbuat zina maka wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti kaedah "Jika berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".
Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' . Dan diantara yang berpendapat mubah ialah Ibnu Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.
Cara yang paling baik untuk bertaubat dari pekerjaan "melampaui batas" ini dengan banyak berpuasa, berzikir dan jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya. Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah agar syahwat kita terpelihara.

9. Mengawal Marah dan Khusyuk BeribadahSoalan: Bagaimana mengelakkan perasaan marah dan cara untuk lebih khusyuk sewaktu beribadah?
Che Soyah, Serdang
Jawapan: Menurut Abullaits Assamarqandi dalam bukunya "Tanbihul Ghafilin" bahawa diantara manusia itu ada orang yang lekas marah tetapi juga lekas redanya maka ini seimbang. Adapula orang yang lambat marahnya dan lambat pula redanya, ini juga seimbang. Sebaik-baik kamu lambat marah dan cepat redanya dan sejahat-jahat kamu yang cepat marahnya dan lambat redanya.
Dalam hadis Rasulullah SAW banyak diterangkan tentang cara mengatasi sifat marah ini. Diantaranya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Marah itu bara api maka siapa yang merasakan demikian, jika ia sedang berdiri maka hendaklah duduk, dan bila sedang duduk hendaklah bersandar atau berbaring". Dalam keterangan lain juga disebutkan jika kita dalam keadaan marah maka syaitan telah meniup api kemarahnnya, untuk meredakannya maka berwuduklah, dengan cara itu api kemarahan akan terpadam.
Kemarahan itu menyebabkan hubungan kita dengan orang lain menjadi terjejas, oleh sebab itu bukakan hati kita agar segera memaafkan orang tersebut, dengan sendirinya kita telah mampu mengawal kemarahan kita daripada terus merebak. Dari Abu Umamah Albahili berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang dapat menahan marah padahal dia dapat untuk memuaskan kemarahannya, namun ia tidak menurutinya bahkan ia bersabar maka Allah SWT mengisi hatinya dengan keredhaan di hari kiamat".
Mengenai khusyuk dalam ibadah atau solat, para ahli banyak mengemukakan pendapat mereka diantaranya; Ibnu Abbas mengatakan bahawa khusyuk itu adalah orang yang takut dan tenang anggota badan dan hatinya. menurut Ali bin Abi Thalib, khusyuk itu adalah khusyuk hati, maksudnya khusyuk itu tempatnya didalam hati dan yang memetik khusyuk itu adalah hati itu sendiri.
Menurut Ibnu Katsir seorang ahli tafsir terkenal menerangkan khusyuk di dalam solat itu hanya dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk solat dan menghindarkan soal lainnya dan mengutamakan solat dari hal-hal dunia. Dengan itu solat menjadi kecintaan dan kesenangan hati". Banyak lagi pendapat para ulama tentang khusyuk ini, namun semua berkisar pada kosentrasi tubuh dan jiwa kita dalam mengingati Allah. Wallahu A'lam.Sila rujuk buku:1.Roh Sembahyang DN 070

10. Cara Mandi JunubSoalan: Bagaimana cara melaksanakan mandi junub seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan terperinci dan syarat-syarat sah serta wajibnya?
Sabri, K Lumpur
Jawapan: Mandi junub adalah mandi hadas besar hukumnya adalah wajib. Apabila sebab-sebab mewajibkan mandi itu berlaku di atas diri seseorang, maka wajiblah ia mandi. Perkara yang mewajibkan mandi seperti keluar mani, berjimak, keluar haid dan nifas, serta wiladah.
Rukun mandi junub itu ada dua. Pertama, Niat disertakan dengan permulaan yang dibasuh daripada anggota badan. Lafaz niatnya "Sahaja aku mandi daripada hadas besar dari sekalian tubuhku fardhu kerana Allah Ta'ala. Kedua, meratakan air kepada seluruh badan. Sekiranya air itu tidak meratai ke seluruh badan disebabkan ada yang menghalangi sampai air kepadanya, seperti lilin atau minyak atau lainnya maka perlu membasuhnya kembali. Banyak perkara-perkara sunat yang dilakukan Rasulullah dalam mengerjakan mandi junub ini namun segala garis besar dapat dilakukan menurut rukun mandi junub seperti yang di jelaskan di atas.Silai rujuk buku:1. Rumah Idaman Syurga Impian "Suami Teladan". DN 036

Tidak ada komentar: