Google

Kamis, 10 April 2008

Menegur Ayah yang tidak Solat

1. Menegur Ayah yang tidak SolatSoalan: Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menegur bapa agar mengerjakan sembahyang?
Hamba Allah, Sabah
Jawapan: Adalah menjadi kewajipan setiap mukmin apabila mendapati saudaranya tidak menunaikan solat menegurnya. Jika ia dapati keadaan ini masih berterusan hendaklah ia melapurkan kepada pihak yang berkuasa supaya pihak berkuasa dapat menasihatinya atau memgambil apa-apa tindakan yang sewajarnya terhadap kelaliannya mengerjakan perintah Allah. Dalam sebuah hadis sahih jelas menyuruh seseorang itu mencegah kemungkaran apabila ia melihatnya samada dengan tangannya jika ia mampu atau jika tidak mampu dengan lidahnya dan jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.
Orang yang ditegur sebenarnya terdiri dari berbagai golongan, kerana itu proses peneguran ini hendaklah dilakukan secara hikmah dan penuh dengan kebijaksanaan. Untuk menegur seorang ayah yang tidak menunaikan solat memerlukan banyak kesabaran. Caranya juga boleh dilakukan dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan ayahnya, di mana apabila tiba waktu solat, ajaklah ayah anda turut bersolat bersama anda.
Ceritalah kepadanya tentang kelebihan solat dan bahaya orang yang meninggalkkan solat. Berhubunglah dengan orang-orang lain yang boleh menasihati ayah anda seperti ustaz-ustaz yang tinggal berhampiran,dengan rumah anda dan orang-orang tua yang dihormati di kampung anda. Selain itu anda juga boleh membeli kain pelikat, baju melayu, kopiah, dan lain-lain peralatan solat untuk menyedarkannya tentang keperluan solat. Akhir sekali hendaklah anda sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya membuka hatinya ke arah petunjuk dan jalan yang lurus. Sila rujuk buku-buku berikut:1. 40 Peranan Ibubapa Mithali DN 2412. 20 Sifat fitrah Anak DN 2403. 20 Kesilapan Ibubapa DN 2474. 40 Peranan Anak Mithali DN 2425. Panduan Memperoleh Hikmah dalam Solat DN 202

2. Syarat dan Bacaan PenyembelihanSoalan: Saya ingin bertanya berkaitan dengan penyembelihan 1) Syarat-syarat sah sembelihan. 2) Sembelihan kaum wanita. 3) Bacaan ketika sembelihan.
Yati, Melaka
Jawapan: Syarat-syarat sah sembelihan telah disebutkan di dalam surah Al-Ma'idah iaitu hendaklah pihak yang menyembelih itu orang Islam ataupun ahli kitab. Sembelihan orang kafir dan murtad tidak sah dan tidak boleh dimakan. Alat sembelihan pula hendaklah tajam. Tidak boleh menggunakan kuku dan tulang binatang. Seterusnya urat halkum dan merikh binatang yang disembelih hendaklah dipastikan putus.
Berhubung sembelihan yang dilakukan oleh seseorang wanita hukumnya adalah sah. Begitu juga dengan sembelihan kanak-kanak yang sudahpun berakal, malah wanita yang sedang haid sah sembelihannya sebagaimana yang disebut di dalam kitab kifayatul Akhyar. Tidak ada bacaan khusus ketika menyembelih selain dari mengucapkan bismillah hirahmanir rahim atau menyebut Bismillah Allahu akbar. Sesudah sembelih mohonlah supaya Allah menganugerahkan kepadanya rezeki yang baik dan halal. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Rumah Idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN 0362. Rumah Idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN 037

3. Meninggalkan Bacaan Surah dalam SolatSoalan: Bolehkah saya hanya membaca Al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah-surah lain sewaktu menunaikan sembahyang?
NAR, KL
Jawapan: Membaca surah Al-Fatihah sahaja di dalam solat tanpa membaca surah selepas itu, tidaklah membatalkan solat, sebaliknya solat tetap sah. Bagaimanapun jika anda menjadi imam elok dibaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW yang membaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah. jika anda menjadi makmum pula setelah membaca surah Al-Fatihah tidak perlu lagi anda membaca surah sebaliknya hendaklah anda menumpukan diri kepada bacaan imam.Sila rujuk buku-buku berikut:1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 2002. Panduan Lengkap Ibadah Solat DN 1143. Soal Jawab Ibadah Solat DN 176

4. Pernikahan Rahsia di ThailandSoalan: Saya telah bernikah di Siam secara senyap-senyap untuk mengelakkan dosa maksiat. Apa hukumnya setelah bernikah di Siam, kemudian saya bernikah sekali lagi di Malaysia? Dan kalau ada orang bertanya sudah kahwin ataupun belum, saya jawab belum bagi menutup rahsia, bagaimana?
Wan, Batu Caves
Jawapan: Akad nikah sah apabila cukup dengan syarat-syaratnya yang telah digariskan oleh para ulamak iaitu mesti ada calon suami, calon isteri, wali, saksi dan ijab dan kabul. Sehubungan dengan itu akad nikah walaupun di negara mana sekalipun diadakan termasuk di negara jiran Thailand adalah sah jika mencukupi syarat-syarat dan rukunnya. Cuma yang sering menjadi persoalan ialah adakah akad nikah itu benar-benar dilakukan dengan imam-imam yang bertauliah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Biasanya kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf imam-imam yang benar-benar layak sahaja. Ini bermakna akad nikah yang dijalankan oleh imam-imam yang tidak bertauliah tidak sah. Soalnya sekarang kenapa harus berkahwin di Thailand tidak di negara sendiri. Jika alasan yang diberikan ialah kerana wali perempuan tidak mengizinkan akad nikah itu, sedangkan kedua pasangan sudah sekufu maka kes seumpama ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah, kerana ia termasuk dalam kes wali enggan mewalikan perkahwinan. Pihak berkuasa agama di negara kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan perkara ini. Kerana itu kenapa semestinya bernikah di negara jiran.
Akad nikah yang dilangsungkan sekali lagi kerana memenuhi keperluan undang-undang pendaftaran nikah kahwin di Malaysia tidaklah membatalkan perkahwinan yang pertama. Bagaimanapun perkara ini amat tidak elok dilakukan, kerana menampakkan soal nikah kahwin yang begitu besar urusannya itu seolah-olah menjadi bahan permainan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mengadakan akad nikah sekali lagi kerana urusan pendaftaran tidak menjadi masalah.
Jika anda mengaku masih bujang sedangkan anda sudahpun berkahwin, maka perbuatan anda ini termasuk dalam ertikata kinayah atau penggunaan simbolik. Ini bermakna jika anda berniat untuk menceraikan isteri anda, maka jatuhlah talak ke atas isteri anda itu mengikut yang anda niatkan. Tetapi jika anda bermaksud untuk menyembunyikan perkahwinan itu takut mendapat malu, maka perbuatan anda ini amat tidak wajar kerana menyalahi sunnah Rasulullah yang menyuruh supaya diisytiharkan perkahwinan dan disembunyikan pertunangan.
Kecuali pada pandangan anda, anda akan ditimpa mara bahaya yang lebih besar dan kemungkinan anda akan dibunuh jika anda mengumumkan perkahwinan anda, dikala itu haruslah kepada anda menyembunyikannya buat sementara waktu perkahwinan itu. Bagaimanapun anda tidak boleh menyembunyikannya secara berterusan. Sampai bilakah anda harus berada dalam keadaan begitu? Sila rujuk buku:1. Pemantapan Sistem Kekeluargaan DN 225

5. Hukum Mencium Alat KelaminSoalan: Apa hukumnya suami mencium faraj isteri dan isteri mencium zakar suami?
Hamba Allah, B Caves
Jawapan: Setelah melangsungkan perkahwinan seorang suami halal berseronok-seronok dengan isterinya sebagaimana halal kepada seorang isteri berseronok-seronok dengan suaminya. Perkahwinan adalah satu saluran terbaik kepada seorang suami dan isteri melepaskan runtunan nafsu semulajadinya dan cara ini dihalalkan oleh syarak dan diiktiraf oleh masyarakat. Selain itu Islam juga menekan soal adab sopan dalam menjalani rumah tangga. Melihat kepada nas Al-Quran secara umumnya ia menjelaskan keharusan mendatangi isteri mengikut yang disukai oleh suaminya.
Bagaimanapun suami melihat dan mencium alat kelamin isteri dan isteri melihat alat kelamin dan mencium alat kelamin suami ketika melakukan persetubuhan menjadi satu perkara yang diperselisihkan di kalangan ulamak. Sesetengahnya berpendapat makruh berbuat demikian kerana ia boleh mewarisi penyakit buta dan ia juga melambangkan kurang kesopanan antara suami dan isteri.
Sesetengahnya pula berpendapat perbuatan tersebut dibenarkan oleh syarak berdasarkan umumnya ayat di atas. Pendapat ini dinukilkan dari imam An-Nawawi dan juga imam Al-Qurtubi. Pengarang kitab Ahkam Al-Awrat dan An-Nazar berpendapat dibenarkan berbuat apa sahaja kepada suami isteri yang sudah sah perkahwinannya.
Kesimpulannya para ulamak masih berselisih pendapat tentang hukum di atas di antara yang mengharuskannya dengan yang memakruhkannya. Apa yang jelas ialah Nabi SAW ketika bersama dengan Aisyah RA tidak pernah melihat alat kelaminnya sebagaimana Aisyah juga tidak pernah melihat alat kelamin nabi SAW. Inilah adab sopan yang sewajarnya diikuti. Sila rujuk buku:1. Khazanah Mutiara Hikmat DN 283

6. Terlewat Solat SubuhSoalan: Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadanya bila waktu zuhur?
MS, Shah Alam
Jawapan: Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.
Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqada'kannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 2002. Soal Jawab Ibadah Solat DN 1763. Persoalan Solat & Penjelasannya DN 187

7. Haid 2 Kali SebulanSoalan: Bagaimana mengira tempoh suci bagi wanita yang haidnya sampai dua kali dalam sebulan dan biasanya tempoh setiap satunya agak panjang dari biasa contohnya 10 ke 15 hari (kadang-kadang lebih lagi) lamanya?
Isa, PJ
Jawapan: Bagi madhhab Asy-Syafii tempoh haid yang paling kurang bagi seseorang perempuan ialah sehari semalam, paling sederhananya ialah tujuh hari tujuh malam dan tempoh paling lama sekali ialah lima belas hari. Darah yang keluar selepas itu tidak lagi dikira sebagai darah haid sebaliknya dikira sebagai darah istihadah atau darah penyakit.
Ada juga dikalangan ulamak kebelakangan ini yang membezakan antara darah haid dengan darah yang bukan haid melalui rupa dan warna darah itu sendiri, sebagaimana yang dinakalkan oleh Sayyid Sabid dalam kitabnya Fikih As-Sunnah. Dalam situasi seseorang itu di datangi haid sebanyak dua kali sebulan, jika wanita tersebut dapat membezakan antara warna darah haid dengan dengan warna darah istihadah, hendaklah ia beramal dengan kemampuannya membezakan antara kedua warna ini.
Jika ia tidak dapat mengeceam antara keduanya hendaklah ia mengikut bilangan hari yang paling panjang apabila seseorang itu didatangi haid iaitu selama 15 hari 15 malam. Dengan lain perkataan jika haidnya yang pertama kali datang ialah mencukupi tempoh haid yang paling panjang dalam madhhab Syafi'i iaitu selama 15 hari, maka darah yang keluar buat kali kedua itu bukan darah haid sebaliknya lebih dikenali sebagai darah istihadah atau darah penyakit.
Yang terlibat dikehendaki bersuci, kemudian menyumbat alat kelaminnya dengan tuala pelekat seterusnya bersegera mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Kesemua ini dilakukan sebaik sahaja masuk waktu solat. Sila rujuk buku:1. Wanita & Darah DN 190

8. Mengerat Kuku Ketika Berhadas Besar Soalan: Apakah kita dibolehkan mengerat kuku atau rambut semasa dalam keadaan berhadas besar (janabah/haid)?
Isa, PJ
Jawapan: Menurut jumhur ulamak mengerat kuku dan memotong rambut ketika seseorang wanita sedang mengalami haid adalah diharuskan dan tidak dilarang, kerana tidak didapati dalil dari Al-Quran mahupun dari Al-Hadis yang melarang berbuat demikian. Demikian yang disebut di dalam kitab Al-Fiqh Al-Wadih. Bagaimanapun menyimpannya lalu dibawa bersama ketika mandi junub adalah lebih baik.
Al-Imam Al-Ghazali dari kalangan fuqahak Asy-Syafi'i menghukumkan makruh memotong kuku dan mengerat rambut ketika sesesorang perempuan itu sedang didatangi haid, atas alasan anggota yang dibuang itu akan disoal oleh Allah SWT pada hari Kiamat nanti. kerana itu amat wajar sekiranya ia kembali kepada Allah dalam keadaan bersih. Sila rujuk buku:1. Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224

9. Bacaan Al-Fatihah Makmum dalam Solat BerjemaahSoalan: Kalau kita menjadi makmum sembahyang fardu, adakah kita perlu membaca Al-Fatihah semasa imam membaca surah. Dan kalau perlu, adakah sah sembahyang kita apabila kita tidak sempat habis membaca Al-Fatihah kerana imam membaca surah pendek. Kes ini adalah bukan kes makmum masbuk atau muafik?
Jaafar, KL
Jawapan: Mengikut pendapat jumhur ulamak termasuklah imam Asy-Syafi'i sendiri, membaca Al-Fatihah di dalam solat bagi makmum adalah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Ini bermakna tidak sah solat makmum itu jika ia berkesempatan membaca Al-Fatihah tetapi ditinggalkannya dengan sengaja.
Dalam sebuah hadis yang sahih Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada solat (tidak sah) bagi sesiapa yang tidak membaca Surah Al-Fatihah". Ini berbeza dengan pendapat imam Abu Hanifah yang tidak mewajibkan makmum membaca surah Al-fatihah. jika anda membaca agak lambat dan imam pula agak pantas sehingga anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah. Dalam hal ini sekiranya imam telah rukuk anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum imam sujud, maka hendaklah anda menghabiskanya.
Jika anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam kerana bacaan imam akan dikira sebagai bacaan makmum seperti juga kedudukannya orang yang masbuk. Ini kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan Rasulullah SAW pernah menjelaskan: imam itu dilantik untuk diikuti oleh makmum sekiranya ia rukuk maka hendaklah anda semua rukuk dan sekiranya ia sujud maka henadaklah anda sujud. Bagaimanapun bagi sesetengah ulamak Syafi'i seperti imam Nawawi orang terlibat luput rakaat pertama dan ia dikehendaki menambah rakaat yang luput itu diakhir solatnya. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 2002. Panduan Lengkap Ibadah Solat DN 114

10. Menunaikan Haji bagi Si matiSoalan: Kalau seseorang itu telah meninggal dunia tetapi dia belum sempat menunaikan haji, adakah wajib warisnya menggunakan wang simpanan kwsp arwah simati untuk menunaikan haji secara wakil. Ini adalah setelah semua hutang-hutang arwah simati dibayar?
Jaafar, KL
Jawapan: Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya. Kedua menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain. Ketiga membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat. Kelima membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.
Oleh itu jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji. Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya.
Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh malik, Asy-Syafii, Asy-Syaikhain, Abu Dawud Dan Nissa'i). Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.
Sehubungan dengan itu anda boleh mengeluarkan wang KWSP ayah anda untuk digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak ayah anda, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka. Sila rujuk buku:1. Panduan Ibadah Haji Umrah & Ziarah DN 045

Tidak ada komentar: