Google

Jumat, 11 April 2008

Kesempurnaan Agama Islam

1. Kesempurnaan Agama Islam Soalan: Kalau dilihat kepada fitrah penghidupan manusia, kenapakah manusia perlu memilih Islam sebagai cara hidup mereka yang paling sempurna. Ini setelah mengambilkira perbandingan bagi semua agama lain yang juga mempunyai balasan baik dan jahat serta beberapa pendekatan yang agak sama. Dimanakah kelebihan Islam?
Dan berdasarkan perbahasan minda, kenapakah penghidupan manusia itu memerlukan kepada Tuhan secara khususnya Allah dan perlu kepada sebuah penghidupan beragama?
Nur Deeny, KL
Jawapan: Manusia memang memerlukan kepada satu kuasa yang lebih tinggi dari mereka yang menjadi tempat mengadu baik di waktu susah mahupun di waktu senang. Kuasa ini diharapkan dapat membantu manusia dalam gerakkerja mereka. Cuma dalam mencari kuasa tuhan ini manusia menggunakan berbagai cara. Ada yang menyembah pokok, roh, jin, bintang dan lain-lain. Mereka meyakini benda-benda ini semua dapat membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Walau bagaimanapun ke semua cara ini adalah salah, kerana ia bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia. Fitrah semulajadi manusia mengkehendaki hanya satu tuhan sahaja tempat mereka bergantung, kerana kalau ramai tuhan, bagaimana mungkin tuhan-tuhan ini melaksanakan tugasnya. Tuhan A mahu buat sesuatu tetapi sebaliknya tuhan B enggan berbuat demikian.
Bukankah akan timbul kekacauan dalam alam ini. Tuhan ini tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT yang diberitahu kepada kita oleh Nabi Muhamad SAW. Kita beriman kepada apa yang diberitahu oleh baginda SAW lantaran benar, amanah, tabligh dan cerdiknya Nabi SAW. Kita yakin Nabi Muhammad SAW tidak pernah berbohong dalam hidupnya.
Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang memberitahu kita tentang wujudnya Allah SWT ini, malah telah diberitahu oleh 24 orang Rasul sebelum baginda yang kesemua mereka adalah bersifat maksum, bersih dari salah dan silap. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan ketika TuhanMu mengeluarkan zuriat anak Adam dari tulang belakangnya lalu Ia telah memerintahkan mereka bersaksi yang Aku ini adalah TuhanMu, lalu mereka menjawab: malah kami bersaksi (Engkaulah Tuhan kami)." Inilah fitrah semulajadi manusia yang diciptakan tuhan.
Al-Quran menjelaskan agama yang benar di sisi Allah SWT hanyalah Islam sahaja. Yang lain daripadanya adalah palsu belaka. Islam adalah agama dunia dan akhirat. Ia merupakan agama yang menggabungjalinkan antara keperluan rohani dan jasmani manusia. Manusia diciptakan hasil paduan antara roh dan jasad. Setiap satu dari elemen ini memerlukan makanannya yang tersendiri.
Dalam Islam makanan-makanan untuk kedua elemen ini memang sudah sedia ada di dalamnya. Rasulullah SAW mengajar kepada umatnya segala sesuatu sehingga kepada soal buang kecil dan buang air besar kepada soal pemerintahan dan bernegara. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh tauladan kepada ke semua aspek ini dalam hidup baginda SAW. Agama Islam adalah agama yang sederhana dan tidak melampau batas, sesuai dengan fitrah semulajadi manusia.
Umpamanya dalam soal perkahwinan, fitrah semulajadi manusia menghendaki mereka berkahwin. Apabila Islam datang ia bukan sahaja membenarkan fitrah semulajadi ini, tetapi ia juga mengemaskan lagi kedudukan perkahwinan ini dengan ia hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan dari kedua belah pihak dan mengikut cara-cara yang disyariatkan, bukannya denagan membawa lari entah ke mana. Manusia yang paling tinggi darjatnya dalam Islam ialah manusia yang paling bertakwa kepada Allah SWT.
Dalam agama Kristian tidak begitu. Agama Kristian sekarang adalah satu agama ciptaan para padri bukannya agama yang asal diturunkan Allah kepada nabi Allah Isa as. Banyak perkara yang tidak dilakukan oleh nabi Isa as dilakukan oleh mereka. Injil mereka sahaja berjumlah lebih dari 200 buah dengan matan yang berbeza antara satu sama lain dan membingungkan para pengkaji.
Ia juga merupakan agama yang tidak sesuai dengan fitrah semulajadi manusia, kerana terlampau menekankan kepada ibadat di gereja sahaja, tidak ada perkara yang bersangkutan dengan cara berpolitik, bermuamalat dan lain-lain sebagaimana dalam Islam. Nabi Isa as sendiri tidak diutuskan kecuali untuk masyarakat Bani Israel sahaja. Banyak pembohongan dimuatkan dalam kitab Injil. Padri mempunyai kuasa mengampun pada setiap hari Ahad apabila sesesorang itu mengaku segala kesalahannya.
Padahal kuasa mengampun hanyalah milik Allah sahaja. Sesiapa yang bersalah tidak perlu meminta maaf dari padri sebaliknya terus bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadanya. Agama Kristian menjadi satu agama yang tidak mempedulikan soal-soal duniawi, malah mereka memandang jijik kepada kaum wanita. Pernah suatu ketika dahulu berlaku perbincangan di kalangan padri kristian adakah kaum wanita itu roh baik atau roh jahat. Agama sebegini tidak sesuai menjadi pegangan manusia kerana tidak memenuhi keperluan rohani dan jasad mereka.
Agama Yahudi pula begitu juga. Ia menjadi satu agama yang menekankan soal duniawi dan mengenepikan soal rohani, malah dalam kitab taurat yang diselewengkan ada menceritakan betapa yang dikatakan syurga itu ialah kemewahan hidup di dunia ini, manakala neraka pula ialah kesusahan hidup di dunia ini. Pendita-pendita sewenang-wenangnya menyelewengkan Taurat. Mereka memakan harta orang ramai atas nama agama.
Mereka juga mengganggap bangsa mereka sahajalah yang paling baik di dunia ini. Bangsa lain diciptakan untuk mengabdikan diri kepada mereka sahaja. Jika begitulah keadaannya bagaimana mungkin agama ini dapat berlaku adil kepada manusia. Para pendita yahudi membuat tuduhan yang tidak masuk akal kepada nabi-nabi mereka.
Agama Hindu dan Budha tidak dapat memenuhi keperluan beragama kepada manusia kerana ia mengandungi banyak unsur-unsur khurafat dan tahyul. Upacara ibadatnya pula sukar ditanggung oleh manusia. Untuk membersihkan diri mereka melakukan upacara agama yang berat dan tidak sanggup dilakukan oleh fitrah semulajdi manusia, seperti mencucuk badan dengan besi dan lain-lain. Padahal untuk bertaubat tidak perlu memberatkan diri dengan aktiviti demikian rupa.
Dalam agama Hindu pula ada kasta-kasta. Golongan yang berkasta rendah tidak boleh bersama dengan kasta tinggi, malah orang yang berkasta rendah diciptakan untuk berkhidmat kepada golongan yang berkasta tinggi. Jika begitulah keadaanya bagaimana mungkin ia dapat berlaku adil kepada manusia. Syeikh Abu Hasan An-Nadawi menjelaskan pernah suatu ketika orang-orang yang beragama Hindu yang kuat percaya kepada khurafat dan tahyul mewujudkan tuhan dari setiap sesuatu yang menurut kepercayaan mereka dapat memberi manfaat kepada mereka sehingalah jumlah tuhan-tuhan yang menjadi bahan sembahan mereka mencapai angka 330 juta tuhan. Kalau sudah 330 juta bagaimana manusia dapat melaksanakan hak bagi setiap tuhan ini dalam sehari semalam.
Begitulah juga dengan agama-agama lain seperti agama Kung Fu Tze. Kesemua agama ini tidak dapat memenuhi fitrah semulajadi manusia.

2. Kaedah Menakluki Hati SuamiSoalan: Ustaz, berjumpa dengan bomoh untuk mencari ubat pengasih atau menuntut rasa cinta dari suami selain dari memohon doa dari Allah adalh salah satu dari dosa-dosa besar. Jadi, boleh ustaz terangkan cara dan amalan yang sepatutnya isteri lakukan untuk menakluk hati suami (supaya suami sentiasa merasa cinta dan kasih kepada si isteri sepanjang masa), selain dari tugas-tugas yang lain.
Ini kerana dikhuatiri suami akan berlaku kasar dan kejam terhadap si isteri. Boleh ustaz berikan doa atau panduan kepada saya agar menjadi panduan hidup ke arah kesejahteraan dan kebahagian dengan mengikuti ajaran Islam yang sebenarnya dan menjadi rujukan yang halal?
Julia, KL
Jawapan: Dalam Islam suami isteri masing-masing mempunyai kewajipan yang wajib dilaksanakan terhadap rumahtangga. Kewajipan isteri terhadap suami antara lain ialah mentaatinya dan mengakui kepimpinanya dalam rumahtangga. Dalam usaha untuk menimbulkan rasa cinta suami kepada isterinya, isteri boleh mengambil berbagai pendekatan.
Antaranya pendekatan fizikal berbentuk memakai perhiasan yang boleh menarik hati suami ketika suami berada di rumah dan melakukan ke semua perkara yang diperintahkan oleh suaminya yang tidak berbentuk maksiat. Selain itu pendekatan lain boleh dilakukan dengan meminta suami menjadi imam solat berjemaah bersama dengan anak-anak dan isteri. Isteri juga boleh mengajak suaminya ke surau atau masjid bersama-sama bagi menunaikan solat berjemaah di sana dan mengambil berkat dari majlis ilmu yang diadakan di situ.
Sama-samalah bangun malam bagi menunaikan solat hajat dan tahajud. Di samping itu isteri juga boleh menunaikan solat hajat memohon kepada Allah supaya rumahtangganya rukun damai dan suaminya sentiasa kasih kepadanya. Doanya boleh dibaca dalam bahasa Melayu kalau tidak dapat membacanya dalam bahasa Arab. Untuk mendapatkan doa-doa yang berkaitan sila rujuk buku Doa Pelindung & Penawar Angin Ahmar (Stroke) DN 145 dan rujuk juga buku "Hajat untuk Rawatan, Pelindung dan Doa" siri1 DN 001 serta siri 2 DN 002 keluaran Darul Nu'man.
Harus diingat setiap rumahtangga itu ada ujian-ujiannya. Dalam menghadapi ujian ini isteri hendaklah tahan sabar. Berkat dari kesabaran ini akan menghasilkan kesentosaan kepada rumahtangga. Insya Allah. Rujuk juga buku-buku Kategori Perkahwinan

3. Mendoakan Rakan yang Bukan IslamSoalan: Apakah hukumnya kita mendoakan supaya kawan kita yang bukan beragama Islam agar dikurniakan Taufiq dan Hidayah dari Allah serta dibukakan pintu hatinya untuk menerima Islam. Sebagaimana yang kita tahu, golongan kafir terutamanya kafir asli adalah di antara golongan yang Allah murkai dan telah dijanjikan dengan azab neraka di akhirat nanti?
Nur Deeny, KL
Jawapan: Tidak salah menurut pandangan Islam kalau kita berdoa supaya rakan-rakan kita yang bukan islam diberi taufik dan hidayah oleh Allah supaya menerima Islam sebagai pegangan hidupnya, malah hukumnya adalah harus. Seseorang yang kafir sebenarnya belum pasti matinya juga dalam keadaan kafir kerana itu mendakwahnya supaya menerima Islam adalah antara gerakkerja yang suci.
Rasulullah SAW pernah berdoa pada masa hidup baginda supaya Allah memberi taufik kepada salah seorang dari dua Umar yang ada di zaman Jahiliyah, supaya menerima Islam, dan Allah SWT telah memakbulkan doa baginda dengan memberi taufik dan hidayah kepada Umar bin Al-Khattab untuk menerima Islam. Yang salah ialah apabila kita memohon supaya Allah mengampunkan dosanya. Ini jelas dilarang keras di dalam Al-Quran.

4. Melipatkan Jari Kaki dalam SolatSoalan: Ustaz, saya ingin bertanya, saya pernah ditegur ketika sembahyang zohor, dimana hamba allah telah mengatakan sembahyang saya tak sah kerana di tahiyyat akhir saya tidak melipatkan ibu jari kebawah, betulkah solat sah itu batal?
Hamba Allah, W Persekutuan
Jawapan: Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan kaki adalah termasuk ke dalam anggota sujud. Persoalannya adakah sah solat seseorang itu apabila ia tidak meletakkan sebahagian dari perut jari ke dua kakinya ke tanah atau ke lantai ketika sujud. Menurut Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dalam kitabnya Sabilul Al-Muhtadin jika seseorang itu tidak berbuat demikian, maka solatnya tidak memadai iaitu tidak sah, kerana meletakkan sebahagian dari perut ke dua kaki di tanah adalah termasuk ke dalam syarat sujud.
Boleh jadi orang yang menegur perbuatan saudara itu berpegang dengan pendapat ini. Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj karangan Al-Khatib Asy-Syarbini menjelaskan meletakkan sebahagian perut jari-jari kaki tidak wajib, kerana itu dihukumkan orang yang tidak berbuat demikian solatnya adalah sah, apalagi jika ia sendiri tidak dapat melipatkan kakinya dengan baik kerana masalah gemuk atau masalah penyakit yang ada di situ.
Bagaimana mengikut kaedah feqah yang berbunyi mengeluarkan diri dari perkara yang diperselisihkan oleh ulamak itu adalah sunat, maka suka diingatkan kepada saudara lain kali hendaklah saudara melipatkan perut jari-jari kaki saudara itu ketika bersolat. Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200

5. Perbezaan Mani dan MaziSoalan: Ustaz saya ingin bertanya apakah perbezaan air mani dengan air mazi dan mungkinkah ia boleh bercampur menyebabkan kita perlu mandi wajib apabila kita lihat telah keluar air mazi. Boleh kita sembahyang tanpa mandi wajib jika kita pasti yang keluar itu air mazi?
Abdullah, Melaka
Jawapan: Air mani keluar dari orang lelaki dan juga orang perempuan. Bezanya air mani lelaki berwarna putih manakala air mani perempuan berwarna kuning. Antara air mani dengan air mazi pula ada perbezaannya. Air mani lelaki keluar secara memancut dengan beberapa kali pancutan. Keluar pula disertai dengan kelazatan. Baunya seperti tepung yang diuli atau bau putih telur yang direbus.
Air mazi pula adalah air yang keluar dari kemaluan yang berwarna putih jernih dan biasanya keluar apabila seesorang itu naik syahwat ketika berkhayal, melihat orang perempuan, menonton filem-filem seks dan lain-lain. Ia tidak akan keluar secara memancut. Air mani dan air mazi boleh jadi bercampur antara satu sama lain khasnya selepas selesai melakukan persetubuhan, kerana itu yang terlibat hendaklah mandi wajib.
Dalam keadaan biasa mazi sahaja yang keluar tidak air mani. Jika seseorang syak adakah yang keluar itu mani atau mazi, maka ia hendaklah membuat pilihan berdasarkan yang diyakininya. Jika yang diyakini yang keluar itu adalah air mani hendaklah ia mandi wajib, tetapi jika diyakini yang keluar itu adalah mazi cukuplah dibasuh alat kelamin dan dibersihkan pakaian yang terkena air mazi itu. Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu Ain DN 034

6. Hukum Menyesali PerkahwinanSoalan: Apakah hukumnya jika dalam satu-satu masa kita menyesali akan perkahwinan kita dengan suami yang sentiasa leka dengan hal dunia; jarang-jarang sembahyang dan berpuasa. Perasaan itu datang kerana kita mengharapkan dia boleh membimbing kita dan anak-anak kearah dunia dan akhirat? Apakah ayat yang sesuai diamalkan supaya suami sentiasa mengingati Allah?
Hamba Allah, KL
Jawapan: Tidak wajar kepada seseorang itu menyesali perkahwinannya dengan seseorang khasnya apabila suami yang diharapkan dapat membimbing isteri tidak melaksanakan tugasnya dengan baik. Ini kerana perkahwinan tidak bersalah. Yang bersalah ialah suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab.
Kerana itu apabila suami tidak berbuat demikian, tidak wajar isteri melahirkan penyesalannya kerana berkahwin dengan beliau, sebaliknya hendaklah diusahakan cara yang boleh menyedarkan suami beliau itu seperti dengan bersolat hajat, meminta nasihat dari orang alim, membuat aduan kepada Qadi dan lain-lain. Kegagalan suami melaksanakan tanggungjawabnya itu adalah sebahagian dari kerosakan rumahtangga yang harus dibaiki dengan segera. Inilah rahsianya kenapa Islam menyuruh seseorang itu memilih suami yang ada agama, bukan yang hensem sahaja.
Untuk mendapatkan ayat dan kaedah yang sesuai yang boleh digunakan bagi mendorong suami terlibat supaya sentiasa mengingati Allah, sila rujuk buku Doa Pelindung & Penawar Angin Ahmar (Stroke) DN 145 dan rujuk juga buku "Hajat untuk Rawatan, Pelindung dan Doa" siri1 DN 001 serta siri 2 DN 002 keluaran Darul Nu'man. Ayat dan kaedah itu tidak dapat disebutkan di sini kerana ruangan ini tidak mengizinkan. Rujuk juga buku Rumah Idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian "Isteri Teladan" DN 037


7. Nisab Wang Dikenakan ZakatSoalan: Berapakah jumlah wang ringgit malaysia yang dikumpul dalam masa setahun yang boleh dikenakan zakat?
Asri, Sabah
Jawapan: Jumlah wang yang dikenakan zakat adalah mengikut kadar nisab zakat emas atau perak iaitu sebanyak 20 dinar bagi emas atau 200 dirham bagi perak. Nisab zakat wang mengikut nilaian emas atau perak ini ditentukan oleh majlis agama negeri masing masing di Malaysia. Contohnya di Terengganu nilaian tersebut bersamaan RM 2689.59 Untuk itu saudara hendaklah menghubungi Majlis Agama Islam Negeri Sabah untuk keterangan lanjut berhubung dengan perkara ini.Sila rujuk buku:1. Fiqh Nabawi DN 231

8. Doa Menghalang Anak BergaduhSoalan: Saya ingin tahu adakah ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan doa untuk menghalang anak-anak dari bergaduh sesama mereka?
Asri, K Kinabalu
Jawapan: Tentang ayat al Quran yang boleh menghalang anak anak dari bergaduh, anda boleh membaca surah al Fatihah dan selawat. Ini diikuti dengan bacaan surah al Insyirah sebanyak 7 kali kemudian bacakan ayat 200 dari surah ali-Imran serta doa berikut " Allahumma allif baina qulubihim wa ashlih zata bainihim ". Selepas itu dihembus ke dalam air untuk diberi minum kepada anak anak. Boleh juga dibaca dan dihembus ke ubun-ubun anak anda pada setiap malam. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 & DN 0022. Buku-buku kategori Kekeluargaan

9. Pembahagian Daging AqiqahSoalan: Saya ingin tahu bolehkah daging aqiqah itu dibahagikan secara mentah yakni tidak lagi dimasak?
Asri, Sabah
Jawapan: Disunatkan memasak daging aqiqah untuk diberi makan kepada golongan fakir miskin, namun anda juga boleh membahagi bahagikannya secara mentah kepada mereka kerana tiada larangan mengenainya di dalam Al Quran atau as Sunnah. Sila rujuk buku-buku berikut:1. Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 2242. Fiqh Nabawi DN 231


10. Berita Huru Hara Soalan: Sebelum ini saya telah mendengar berita tentang pendapat beberapa ulama mengenai suasana huru-hara yang akan berlaku ke atas negara kita menjelangnya Sukan Komanwel nanti. Oleh itu saya berharap agar pendapat ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci lagi terutamanya dari sudut perspektif Islam.
Azinuddin, UNITEN
Jawapan: Sesungguhnya tiada siapa mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah s.w.t sahaja. Ini berdasarkan firmanNya dalam surah al An'am ayat 59 yang bermaksud :" Sesungguhnya hanya (Allah) yang memiliki kunci (pengetahuan) tentang perkara ghaib yang tidak diketahui (orang) kecuali diriNya sahaja ".
Dalam hal-hal tertentu, Allah memberikan tanda tanda kepada sesiapa yang dikehendakinya untuk mengetahui kejadian yang bakal berlaku, namun kita harus berhati hati apabila menerima berita seumpama ini kerana ia memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Dalam surah Al Hujurat ayat ke 6 Allah s.w.t telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam firmanNya yang bermaksud :" Wahai orang orang yang beriman apabila kamu didatangi oleh orang fasiq membawa berita maka hendaklah kamu menyelidikinya terlebih dahulu ".
Tentang suasana huru hara menjelang sukan KL 98, perkara ini telah dinafikan oleh Dato' Pro. Dr. Harun Din, oleh itu tidak perlulah kita membesar-besarkannya demi kemaslahatan dan keamanan negara kita. Disamping itu bersatu, dan berdoalah kepada Allah agar mengekalkan suasana keharmonian negara yang kita cintai dalam apa jua keadaan.

Tidak ada komentar: