Google

Jumat, 11 April 2008

Dilema antara Ayah dan Ibu

1. Dilema antara Ayah dan IbuSoalan: Assalamualaikum Ustaz. Saya ada dua kemusykilan.
Pertama, mengenai ibu saya. Ibu saya berumur sekitar 65 (masih aktif lagi) manakala ayah saya berumur 63 (mengidap penyakit gout tapi masih boleh jalan perlahan-lahan- di dlm rumah saja). Masalahnya,Ibu saya kalau bergaduh dengan ayah saya dia akan mengungkit-ungkitkan kisah lama dan kadang-kadang tersentuh juga perihal kedua orang tua mereka. Namun sesudah bergaduh ibu saya pasti tidak akan menegur ayah saya setelah itu, sampai makan-minun ayah saya pun tidak terurus oleh ibu saya, malahan ayah saya tidak ada makan tengahari pun yang dihidangkan oleh ibu saya.
Untuk pengetahuan ustaz, genggaman tangan ayah saya tidak kuat begitu juga dengan kakinya dan badannya. Maka terpaksalah ayah saya berlapar sehingga kepetang barulah ayah dapat makan malam (menunggu saya pulang dari pejabat dan malam tersebut sayalah yang memasak & menghidangkan kpd ayah saya). Saya kasihankan ayah saya yang tiada orang yg menjaga dan menengok-nengokkan ia namun apakah daya diriku kerana aku juga bekerja seperti orang lain utk mencari nafkah hidup ku sekeluarga.
Dalam soal ini, saya memohon nasihat dan pandangan ustaz dalam perkara sebegini, apakah situasi ayah dan ibu ku sekarang ini dan saya amat kasihan melihat ayahku diperlakukan sedemikian rupa oleh ibu krn waktu ayahku bekerja ibu amat sayang kepadanya kerana diberikan wang tiap-tiap bulan tapi setelah ayah pencen dan menderita sakit serta disaat-saat memerlukankasih-sayangnya ia tidak pedulikan lagi. Hanya tahu mencari rezeki sendiri saja dan membiarkan ayah saya tanpa terurus makan-minumnya dan ayah hanya menangis seorang diri mengenangkan nasibnya dan serta menunggu ajalnya kunjung tiba saja. Namun ayah ada juga memberi nafkah kepada ibu cuma tidak sebanyak mana, cuma setakat 200-300 saja, tapi anak-anaknya yang lain ada juga memberikan ia wang tiap-tiap bulan.
Sebagai anak perempuan saya kasihan melihat ayah saya namun saya hanya mampu mendengar rintihan dan tangisannya sahaja dan saya sendiri tidak tahu apa yang saya perlu buat dan saya amat benci dengan sikap ibu saya tersebut.
Tolonglah ustaz berikan nasihat dan pandangan dalam hal ini.
Faridah, KK
Jawapan: Sebagai seorang isteri wajib baginya memenuhi layanan yang sempurna kepada seorang suami. Jika suami sakit maka isteri perlulah bekerjasama membantunya, begitu juga sebaliknya jika isteri sakit maka suami haruslah mengulurkan bantuan demi meringankan beban yang ditanggung oleh isteri. Seandainya ini dapat dilaksanakan maka insya Allah keluarga akan harmoni hingga akhir hayat. Namun jika isteri tidak menghiraukan beban yang ditanggung oleh suami, bahkan tidak melayan dengan selayaknya, maka yang berdosa adalah isteri tersebut.
Jika berjumpa dengan kes seperti ini berikan nasihat dan pemahaman tentang tanggungjawab seorang isteri terhadap suami. Namun jika nasihat itu tidak dihiraukan maka bagi pihak anak-anak hendaklah berdoa agar ibunya merubah pendirian dan keperibadian dalam melayan suaminya. Setelah itu serahkan kepada Allah, kerana kita hanya mampu berusaha dan berdoa, sedangkan untuk memberikan petunjuk dan hidayah itu hanya hak Allah semata.
Sedangkan tanggungjawab seorang anak terhadap ayah atau ibunya tetap seperti biasa, meskipun hubungan mereka suami isteri tidak berapa baik, maka anak tidak boleh menunjukkan sikap menyebelahi mana-mana pihak, sebab sikap demikian hanya mengeruhkan suasana. Sebagai seorang anak wajib menghormati dan menyanjung tinggi ibunya. Tentang hubungan yang tidak baik antara mereka suami isteri biarlah perkara itu menjadi tanggungan dosa mereka. Yang jelas anak jangan membeza-bezakan dalam memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa.

2. Bergaduh dengan IbuSoalan: Kemusykilan Kedua : Saya telah bergaduh dengan ibu saya tentang ketidakpuasan hati saya terhadap ibu saya selama ini. Ibu saya ini boleh dikatakan mata duitan dan berat sebelah dalam membahagikan kasih-sayangnya terhadap saya (terutama saya krn saya disangkakan adalah anak emas ayah saya pada pandangan ibu saya namun saya rasa tidak krn ayah saya tidak membeza-beza anak-anaknya, semuanya sama rata saja ). Namun ibu saya tidak puashati dan selalu membeza-bezakan saya, ibu saya lebih kasihkan kakak saya nombor-2 dan juga nombor-4 serta kakak nombor-1 tapi berlainan ayah (dulu ibu saya kahwin 2x dan mempunyai anak lama sebanyak dua orang, dan pada masa kini ayah saya adalah suami keduanya sehingga sekarang ).
Masalahnya, setelah saya bergaduh dengan ibu saya, saya tidak menegur ibu saya sampailah kini krn saya sakit hati dengannya dan apakah status saya sekarang ini, sedangkan saya bingung yang mana satu harus saya utamakan ibu saya ataupun ayah saya, saya kasihan ibu saya tapi saya lebih kasihankan ayah saya kerana dialah tempat saya mencurahkan segala masalah saya pada masa dulu.
Malahan ketika perkahwinan saya baru-baru ini, ayah saya dan kakak tua saya serta abang sayalah yang bermatian menguruskan segala persediaan perkahwinan sehingga perkahwinan saya hampir tidak menjadi disebabkan ibu saya mata duitan. Walaupun ketika itu saya ada melihat ayah dan kakak saya menangis disebabkan hal ibu saya, saya hanya berserah kepada Allah s.w.t. saja untuk menentukan segala-galanya. Namun berkat kesabaran ayah dan kakak saya, mereka teruskan jua dan akhirnya berlangsung jua perkahwinan tersebut dan saya bersyukur ke hadrat illahi krn ayah saya sanggup melaksanakan kewajipannya walaupun hatinya pedih mengenangkan sikap ibu saya selama ini.
Maka, apa yang menjadi tanda tanya saya, adakah saya berdosa terhadap ibu saya krn situasi begini saja? Dan saya sekarang masih lagi menjaga ayah saya yang sedang sakit krn ibu saya tidak mempedulikan ia lagi, bagi ibu saya dia menganggap yang ayah saya hanyalah sebagai beban kepadanya sedangkan ayah masih ketua rumah cuma kerana penyakitnya itu saja yang menjadi penghalang kpdnya. Dan manakah yang harus saya utamakan samada ibu, ayah ataupun suami saya . Setahu saya, sebagai anak perempuan yang telah berkahwin maka saya bukan lagi tanggungan orang tua saya namun adakah saya dianggap derhaka terhadap ibu saya krn tidak menegurnya sedang perkara bergaduh mulut itu berlaku ketika saya telah bersuami dan suami saya juga mengetahui.
Mohon perjelasan daripada ustaz . Insan dlm kerisauan,KK/sabah.?
Faridah, KK
Jawapan: Menuduh ibu sendiri sebagai mata duitan merupakan dosa besar. Jika ungkapan ini dilemparkan secara langsung dihadapannya sudah pasti akan mengguriskan hati dan perasaannya. Menyakiti hati ibu merupakan kederhakaan yang paling besar setelah musyrik kepada Allah. Apatah lagi tidak menegur ibu sendiri lantaran sikapnya yang tidak sesuai dengan kita maka dosanya bertambah-tambah besar. Di dalam Islam jika ibu kita seorang yang kafir sekalipun kita tidak dibenarkan untuk menyakiti hatinya bahkan disuruh berbuat baik dengannya dan melayannya dengan cara yang baik pula.
Bertaubatlah kepada Allah dengan segera minta maaf kepada ibu anda, kerana jika ibu anda tidak redha dan tidak memaafkan anda, maka akan melenyapkan rahmat Allah terhadap anda. Jika ini yang terjadi dikhuatirkan anda akan menjadi insan yang menyesal berpanjangan. Tentang keperibadian ibu terhadap ayah anda dan terhadap diri anda sendiri biarlah menjadi tanggungannya, namun sebagai seorang anak tetap wajib melayan ibu dengan cara yang baik.
Sentiasalah berbuat baik kepada ibu meskipun ia tidak melayani sesuai dengan hati dan nurani kita. Jangan balas kekerasan sikap ibu dengan kekerasan juga tetapi balaslah kekerasannya dengan kelembutan agar hatinya menjadi lembut dan menyayangi anda. Layanlah ayah anda yang sakit itu dengan cara yang baik sesuai dengan kemampuan dan mintalah pengertian dan pertolongan suami dalam menghadapi masalah anda ini agar ia memahaminya dan tidak merasa keberatan atas sikap anda yang menyempatkan diri untuk membantu dan menolong ayah. Sebab keredhaan suami terhadap isteri sangat penting bagi memperoleh keredhaan Allah SWT.

3. Memakan Daging yang Diniatkan Qurban dan AqiqahSoalan: Kemusykilan saya ialah mengenai daging Qurban dan Aqiqah. Apakah daging yang diniatkan untuk Qurban boleh dimakan oleh tuan yang punya Qurban dan bagaimana pula dengan daging Aqiqah? Saya agak keliru dengan kedua-duanya. Harap dapat beri penjelasan lebih terperinci.
Nurliza, Penang
Jawapan: Daging qurban halal dimakan atau dimiliki oleh orang yang berqurban paling banyak sepertiga. Akan tetapi daging qurban wajib atau daging qurban nazar haram dimakan oleh orang yang bernazar. Daging qurban sunat maka sunat dimakan oleh orang yang berqurban untuk sekali makan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Sedangkan daging aqiqah boleh dimakan oleh orang melakukan aqiqah dan disedekahkan kepada fakir miskin dan boleh juga diberi kepada orang kaya dalam keadaan sudah masak.
^ Kembali ke atas ^

574. Antara Agama dan PolitikSoalan: Apakah hukumnya orang yang mengatakan Agama Dan Politik tidak boleh dicampuradukan?
Pedang, Sg Petani
Jawapan: Pada dasarnya Deinul Islam (agama Islam) mencakup segala aspek kehidupan bermula dari diri sendiri hingga persoalan masyarakat dan negara. Negara yang dituntut adalah negara yang berdasarkan ketentuan Allah iaitu menegakkan kebenaran dan keadilan. Sedangkan istilah politik dalam masyarakat moden tak lebih hanya suatu ideologi yang dibuat oleh manusia.


5. Menyertai Parti Berdasar IslamSoalan: Apakah HUKUM nya kita menyertai Politik yang berdasarkan ISLAM?
Pedang, Sg Petani
Jawapan: Oleh kerana dunia moden telah membentuk sistem demokrasi dalam sesebuah negara dan umat Islam wajib pula menyertainya demi menegakkan keadilan maka wajiblah bagi kita menyertai perkumpulan/jemaah/ parti yang berdasarkan Islam demi tegaknya kebenaran.


576. Bersekongkol Menghina NabiSoalan: Apakah HUKUMnya kita bersekongkol dengan orang yang menghina Nabi SAW?
Pedang, Sg Petani
Jawapan: Menurut Imam Sayid Hawa salah satu yang membatalkan syahadah yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad adalah menghina Rasulullah SAW. Jadi jika kita bersekongkol dengan orang yang menghina Rasulullah SAW bererti kita telah mengikut mereka dan tergolong dalam orang-orang yang murtad. Nauzubillahi minzalik.


7. Onani dengan Tangan IsteriSoalan: Apakah hukumnya suami mengeluarkan air mani suami dengan menggunakan tangan isteri?
Azman, Kulim
Jawapan: Isteri kamu bagaikan kebun dan ladang milikmu yang boleh digunakan menurut kehendakmu sendiri asalkan tidak menyalahi hukum syarak seperti mengadakan hubungan melalui dubur (liwat). Jika isteri dalam keadaan tidak boleh dijimak seperti dalam keadaan haid atau nifas maka suami bolehlah melepaskan berahi seks dengan memohon bantuan isteri seperti menggunakan tangan dan sebagainya demi terhindarnya fitnah dan perkara yang lebih buruk seperti berbuat zina dan sebagainya.


8. Nazar Untuk Memberi SedekahSoalan: Assalamualaikum, Ustaz, saya ada kemusykilan iaitu, mak saya nak membayar nazarnya dengan sedekah pisang. Pisang itu diletakkan diatas meja kepada pelanggan yang datang. Jadi sesiapa pelanggan yang datang makan akan mengambil pisang tersebut, lalu makan. Soalannya,sah tak nazar itu? Keduanya, jika ada pelanggan yang makan itu bukan Islam bagaimana?
Hamba Allah, KLumpur
Jawapan: Nazar adalah iltizam atau menetapkan diri bertaqarrub pada perkara yang tidak semestinya ada menurut syariat dengan suatu ungkapan kata yang terasa. Seperti orang berkata: "Kerana Allah, aku wajib bersedekah sebanyak...." atau "Jika Allah menyembuhkan penyakitku, maka aku akan berpuasa selama tiga hari". dan lain-lain yang semestinya.
Jika bernazar dengan bersedekah pisang sebanyak yang dinazarkan dan diberikan kepada orang yang datang di restoran anda, maka lakukanlah niat tersebut, maka insya Allah hajat tersebut telah memenuhi syarat yang dinazarkan. Namun adalah lebih baik jika makanan tersebut di berikan kepada pengunjung masjid atau surau berhampiran yang sudah pasti muslim dan mereka yang akan mendoakan kita.

9. Mereka yang Layak Menerima FidyahSoalan: Bagi seseorang yang ingin membayar fidyah, kepada siapakah mereka harus membayar. Bolehkah diserahkan kepada amil zakat untuk menguruskannya atau kita perlu mencari sendiri orang yang layak terima fidyah tersebut?
Abdul Fatah, KLumpur
Jawapan: Jika kita tidak mampu melaksanakan puasa lantaran keuzuran, sakit dan sebagainya yang menyebabkan dibebankan membayar fidyah, maka wajib bagi kita memberi makan sehari seorang fakir ataupun miskin. Usahakanlah mencari orang miskin yang ada disekitar kediaman ataupun di kampung anda dan inilah yang lebih baik.Sila rujuk buku:1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

10. Menasihati Suami Suka Meninggalkan Solat FardhuSoalan: Bagaimanakah cara menasihati suami yang sukar(meringankan) mengerjakan ibadah sembahyang fardhu?
Fatimah, Seri Iskandar
Jawapan: Suami isteri yang diredhai adalah yang sentiasa saling mengingat antara satu dengan yang lainnya. Seharusnya suamilah yang bertanggungjawab menjaga akhlak dan agama isteri. Namun jika suami yang mengabaikan solat fardhu maka sangat besarlah dosa yang mesti ditanggungnya kerana ia tidak mampu membina dirinya sendiri dalam mematuhi perintah Allah SWT. Jika demikian maka sangat sukarlah baginya untuk membina keluarganya menuju kebahagiaan hidup berumahtangga.
Seandainya isteri memiliki keimanan yang kuat sehingga tidak terpengaruh dengan kelalaian suaminya dalam melaksanakan ibadah solat, maka isteri memiliki akhlak yang terpuji. Berusahalah menasihat suami dengan secara tidak langsung, umpamanya isteri terus mengerjakan solat walaupun suami tidak mahu mengerjakannya, semoga dengan fenomena itu dapat merubah mindanya dan merasa malu, akhirnya ia akan mengerjakan solat. Disamping itu mintalah pihak ketiga untuk menasihati suami, terutamanya ahli keluarganya sendiri ataupun ibu bapanya dan orang lain yang berpengaruh terhadap suami anda. Terakhir, berdoalah kepada Allah agar suami anda mendapat hidayah dalam mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Sila rujuk buku:
1. Amaran Mengabaikan Solat

Tidak ada komentar: