Google

Jumat, 11 April 2008

Cara Untuk Melupakan Seseorang

1. Cara Untuk Melupakan SeseorangSoalan: Doa apakah yang perlu dibaca untuk kita melupakan seseorang?
Zarina, JB
Jawapan: Hidup yang berkat adalah dengan menyerahkan segala urusan kita hanya kepada Allah semata. Untuk menjadi insan yang beriman dan wanita solehah itu ialah dengan menjalankan segala yang diperintahkan Allah dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Jika ketentuan dan aturan Islam itu dapat kita amalkan maka Insya Allah, kita akan dijaga oleh Allah daripada segala sesuatu yang membahayakan diri kita.
Lakukanlah amalan-amalan wajib dan tambahkanlah dengan amalan-amalan sunat. Kemudian setelah solat berdoalah dengan mengharapkan rahmat-Nya agar segala gangguan yang menghantui pemikiran kita dapat disingkirkan, cukup berdoa dengan bahasa kita sendiri yang kita fahami keinginan dan maksudnya. Begitu lengkapnya ajaran Islam sehingga ketika ingin tidurpun ada doa yang mesti kita amalkan sehingga diri kita tidak diganggu oleh pengaruh buruk dari luar. Disamping membaca doa tidur, kita juga dianjurkan membaca surah al Fatihah, ayat Kursi, surah al Ikhlas, surah al Falaq dan surah An Nas. Dengan mengamalkan surah-surah tersebut, insya Allah dapat berperanan sebagai pendinding orang mukmin dari gangguan manusia mahupun makhluk halus.
Begitu jugalah dengan masalah yang anda hadapi, boleh mengamalkan surah-surah tersebut sebagai pendinding, namun jika ingatnya anda kepada seseorang itu kerana cinta anda yang mendalam atau rasa kasih sayang, sedangkan anda berharap kepada Allah agar dijodohkan dengannya, maka berdoalah kepada Allah agar minda anda menjadi tenang dan tidak terlalu menuruti perasaan. Wallahu A'lam.

2. Nama-nama Anak Menurut IslamSoalan: Saya mempunyai tiga orang anak. Yang pertama saya namakan Muhammad Fitri, Kedua Nur Farahain dan Ketiga Muhammad Faizul Hafiz. Sesuaikah nama-nama tersebut didalam Islam?
Jamilah, JB
Jawapan: Memberi nama anak adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap mereka, kerana nama merupakan doa terhadapnya. Jika nama tersebut bermakna baik, bererti kita mendoakan untuk anak agar menjadi baik. Sebaliknya jika nama tersebut bermakna buruk, maka ia akan membawa kesan pada tingkah laku mereka. Mengenai nama anak anda mungkin dapat kami terjemahkan sebagai berikut: Muhammad Fitri: bermakna "Insan terpuji yang bersih atau semulajadi". Nur Farahain: bermakna "Cahaya kegembiraan". Muhammad Faizul Hafiz: bermakna "Insan terpuji yang berjaya dan penjaga atau pelindung"

3. Menghindari Dari Bahaya Dendam Soalan: Saya telah menyakiti hati seseorang dan saya telah meminta maaf dan dia telah memaafkanya tetapi dengan niat yang tidak ikhlas. Buat pengetahuan ustaz, beliau ada menaruh dendam terhadap diri saya dengan membalas balik perlakuan yang yang pernah saya lakukan terhadap dirinya. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan bagi mengelakkan perkara ini dari terus berterusan? Kerana saya kini tunagannya.
Su, JB
Jawapan: Sifat dendam merupakan sifat tercela yang perlu kita hindari dalam kehidupan kita. Jika seseorang menyimpan rasa dendam dengan kita usahakan memulihkan hubungan silaturrahim agar sifat itu tidak terus berpanjangan. Dalam sebuah hadis disebutkan "Orang mukmin itu bukanlah pendendam".
Dendam itu merupakan buah daripada kemarahan, sedangkan dendam itu sendiri menyebabkan berbagai perkara yang dianggap sebagai kemungkaran diantaranya menimbulkan sifat dengki iaitu sifat merasa bangga melihat orang lain dalam bahaya atau kedukaan. Orang yang memiliki sifat ini sangat tercela.
Sifat dendam juga dapat melahirkan sifat menghancurkan dan memusnahkan kehidupan orang yang didendamnya. Kemudian dapat memutuskan hubungan silaturrahim, memukul orang yang didendaminya serta banyak lagi sifat buruk yang timbul dari dendam kesumat ini.
Jika anda telah berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan cara minta maaf tidak berhasil, maka berusahalah bermohon kepada Allah dengan solat istikharah. Dengan cara ini anda boleh membuat pilihan dengan betul apakah tunang anda itu yang terbaik untuk anda atau sebaliknya. Wallahu A'lam.

4. Makna Perjalanan 2 MarhalahSoalan: Assalamualaikum wbt. Betulkah syarat untuk orang berbuka puasa itu bagi perjalanan jauh sejauh 80640 km? Saya agak terkeliru. Bagaimana pula dengan perjalanan yang dikatakan 2 marhalah tu?
Khalid, KL
Jawapan: Perjalanan dua marhalah itu terdiri dari 80,640 m atau 80.64 km.bersamaan 52 batu (1 batu = 1.55 km. dan 52 batu x 1.55 km = 80.64 km, menurut mesin kira canggih ) bukan seperti yang saudara maksudkan di atas. Mungkin juga buku yang saudara rujuk tersilap taip. Wallahu A'lam.

5. Pahala TerhapusSoalan: Adakah pahala yang telah kita lakukan selama kita hidup akan hilang atas sebab-sebab tertentu?
Mohd Izzat, KL
Jawapan: Pahala kebaikan kita dapat hilang jika kita melakukan perkara yang dapat melenyapkan pahala kita tersebut umpamanya jika kita memiliki sifat hasud dan dengki. Abu Laits Assamarqandi dengan sanadnya daripada Al Hasan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Hasud dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat atau kebaikan seperti api memakan kayu bakar".
Pahala kebaikan kita juga akan musnah jika kita murtad daripada ajaran Islam dan hingga akhir hayat tanpa bertaubat. Wallahu A'lam.

6. Waktu ImsakSoalan: Bilakah masa sebenar waktu tidak dibenarkan lagi makan dan minum samada waktu imsak atau azan subuh?
Abdullah Abu Bakar, KL
Jawapan: Yang dimaksud dengan waktu Imsak adalah waktu untuk menahan, maka sebaiknya kita berhenti makan ketika waktu Imsak telah masuk. Rasulullah SAW dalam satu riwayat menyebutkan, baginda setelah sahur sempat membaca 10 ayat Quran kemudian baru masuk waktu Solat Subuh. Ini membuktikan bahawa tidak makan sahur hingga sampai saat azan subuh berkumandang. Wallahu A'lam. Sila rujuk buku:1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

7. Amalan Anak Yang Soleh Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan amalan anak yang salih diterima oleh kedua ibubapanya? Adakah anak tersebut perlu meniatkan amalan tersebut khas kepada ibubapa mereka atau tidak..?
Abdullah Abu Bakar, KL
Jawapan: Segala amal kebajikan yang dilakukan oleh seseorang dapat dikatakan sebagai amalan anak yang soleh, kerana setiap kita mempunyai ayah dan ibu. Samada kita kirim secara khusus doa untuk orang tua atau kita beramal untuk diri kita sendiri, maka segala kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan itu merupakan ibadah anak yang soleh. Adalah lebih baik kita mendoakan kedua ibu bapa dengan doa yang khusus seperti yang tercantum dalam ayat Al Quran dan diamalkan oleh setiap orang selesai mengerjakan solat. Sila rujuk buku-buku kategori:1. Kekeluargaan2. Pelajar & Remaja

8. Makna Nama Anak Soalan: Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang beberapa nama-nama indah di dalam Islam. Saya ingin menamakan anak saya dengan nama `Luqman'.Soalan : (i) Apakah makna Luqman ? (ii) Apakah nama awalan yang terbaik untuk disambungkan kepada nama tersebut, seperti Muhammad, Abdul, Nur, Ahmad, Abu dan lain-lain jika ada?
Hadifah, KL
Jawapan: i)Luqman maksudnya, bijaksana. ii) Nama yang sesuai untuk disambungkan ; Muhammad ataupun Ahmad yang ertinya "Insan terpuji". Muhammad Luqman ertinya Insan terpuji yang bijaksana.

9. Aurat Mertua dengan MenantuSoalan: Sampai setakat manakah aurat anak menantu lelaki terhadap emak mertuanya?
Hadifah,KL
Jawapan: Kedudukan ibu dan ayah mertua itu sama dengan ibu sendiri. Untuk lebih jelas sila rujuk surah An Nur ayat 31.

10. Syaitan Diikat di Bulan RamadhanSoalan: Saya difahamkan bahawa di bulan Ramadhan yang mulia ini, syaitan akan diikat. Persoalannya, mengapa ramai di antara umat Islam masih lagi melakukan kemungkaran yang ditegah oleh Islam di dalam bulan yang mulia ini jika benar syaitan telah diikat?
Hadifah,KL
Jawapan: Dalam khutbah Rasulullah SAW ketika menyambut bulan suci Ramadhan diantaranya ada menyebutkan: "Wahai manusia, sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak ditutup selama-lamanya untukmu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rab-mu agar tidak pernah dibukakan untukmu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tidak dapat menguasaimu".
Walaupun syaitan-syaitan telah terbelenggu, Rasulullah SAW masih menyuruh kita berdoa agar syaitan tidak menguasai kita. Ini membuktikan syaitan itu diikat atau tidak dapat mengganggu bagi orang yang melaksanakan perintah dan ajaran agama. Namun bagi mereka yang ingkar sesungguhnya keingkaran itu ada dalam dirinya sendiri yang dikuasai oleh hawa nafsunya, sehingga ia terjerumus ke lembah kemaksiatan yang merupakan amalan syaitan. Syaitan terbelenggu kerana amalan orang-orang mukmin yang mengerjakan ibadah, baik ibadah puasa mahupun ibadah lainnya dengan penuh tawaduk dan taat serta meninggalkan segala sesuatu yang menyebabkan rosaknya puasa. Bagi orang yang ingkar syaitan tetap menguasai diri mereka sendiri seperti yang kita lihat dalam kehidupan masyarakat. Sila rujuk buku:1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

Tidak ada komentar: