Google

Kamis, 10 April 2008

Roh Keluar Dari Jasad Ketika Tidur

1. Roh Keluar Dari Jasad Ketika TidurSoalan: Semasa tidur adakah benar roh telah keluar daripada jasad seseorang itu ?
Fauziah ,KL
Jawapan: Di dalam ayat Al Quran ada dijelaskan tentang kedudukan roh ketika tidur ini, dan memang Allah SWT memegang roh orang yang mati dan ketika tidurnya, dan melepaskan kembali sampai waktu yang ditentukan.
Firman Allah SWT maksudnya: "Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan memegang jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir". (Az Zumar ayat 42)

2. Makna InsyirahSoalan: 1) Apakah makna perkataan / nama Insyirah? 2) Bagaimanakah caranya untuk mengerjakan solat jamak & qasar?
Mai Aniza Aris ,KL
Jawapan: 1) Makna nama Insyirah iaitu; KEGEMBIRAAN atau LAPANG HATI.
2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini dalam halaman senarai soalan mengikut kategori

3. Membuang Bulu RomaSoalan: Apakah hukumnya membuang bulu roma yang menyerupai lelaki?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan: Allah telah menjadikan sesuatu dalam diri kita dengan lengkap dan sempurna serta mengandungi hikmah yang besar setiap ciptaan-Nya itu. Jika bulu roma yang anda maksudkan itu dapat menimbulkan mudarat pada diri anda maka dibolehkan untuk mencukurnya demi menjaga kesihatan. Namun jika pencukuran itu dilakukan atas niat lain, seperti ingin menunjuk betis kita kepada orang lain atau kepada yang bukan muhrim, maka jelaslah hukumnya menjadi haram kerana betis itu merupakan aurat bagi seorang wanita.

4. Membantah Kedua Ibu BapaSoalan: Berdosakah seorang anak yang membantah pendapat bapanya yang bertentangan dengan hukum agama / hukum alam?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan: Islam memerintahkan agar seorang anak menghormati kedua ibu bapanya, walaupun keduanya bukan beragama Islam. Apatah lagi jika keduanya beragama Islam, namun jika keduanya membantah tentang sesuatu ketentuan agama maka jelaskan kepadanya dengan cara yang baik dan tidak menyinggung atau menyakiti perasaan keduanya. Gunakan cara yang berhemah dan lemah lembut serta bahasa yang baik dalam menjelaskan sesuatu persoalan terhadap kedua ibu bapa. Sesungguhnya keredhaan Allah tergantung keredhaan ibu bapa terhadap anaknya. Sila rujuk buku-buku kategori:1. Kekeluargaan2. Pelajar & Remaja

5. Membentuk JatidiriSoalan: Bagaimanakah untuk membentuk jatidiri diperisai oleh iman dan taqwa dalam menempuh kegawatan kehidupan masa kini?
Hamba Allah, Serdang
Jawapan: Keimanan itu tumbuh dengan menjalankan segala ajaran yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Betapapun usaha kita untuk menjadi orang yang beriman jika tidak disertakan dengan ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah Allah, maka pengakuan beriman itu hanya sekadar dibibir sahaja. Jadi keimanan itu diperolehi melalui keteguhan hati dan istiqamah dalam menjalan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jika semua ketentuan tersebut dapat kita laksanakan maka barulah kita sampai ke tahap insan yang bertaqwa.
Cabaran hidup masa kini memang sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup kita jika kita tidak membentengi diri dengan jalan mengendalikan hawa nafsu. Hawa nafsu membawa seseorang lebih cinta kepada dunia dan melupakan kepada kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Jadi sumber matair yang perlu anda gali adalah melengkapi diri dengan ilmu-ilmu agama Islam, dengan sendirinya hawa nafsu dapat dikendalikan dengan sempurna dan baik. Wallahu A'lam. Sila rujuk buku:1. Strategi Musuh Menentang Islam DN 170

6. Perasaan Seorang JandaSoalan: Bagaimanakah caranya untuk menepis tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang memegang status janda/duda?
Umi ,KL
Jawapan: Anggapan buruk masyarakat terhadap seorang janda yang beriman merupakan dosa. Walaupun begitu kita hendaklah menghadapi masalah ini sebagai suatu cobaan daripada Allah SWT agar kita sentiasa pada garis yang benar. Cara yang mudah untuk menepis tanggapan buruk itu adalah dengan banyak berdoa kepada Allah SWT setelah selesai solat, serta tunjukkan keperibadian seorang muslimah yang solehah dengan berpakaian yang dianjurkan dalam Islam, mengatur pergaulan dengan baik, sering menghadiri majlis ilmu yang tidak menimbulkan fitnah, serta buatlah sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama Islam.
Biarkan anggapan buruk itu timbul di hati setengah insan yang berpenyakit disekeliling kita asalkan kita tetap pada jalan yang benar. Kerana membalas anggapan buruk dengan menjelaskan kepada mereka tentang diri kita kadangkala hanya sia-sia semata. Cukuplah Allah tempat kita mengadu dan menyerahkan segalanya, kerana dengan cara ini saja hati kita menjadi aman dan tenteram, insya Allah.

7. Mencuci Pakaian Solat dalam Mesin Pembasuh. Soalan: 1) Apakah sah / boleh dibawa bersembahyang pakaian yang dibasuh dengan washing machine auto/semi auto? 2) Bagaimanakah caranya mengerjakan solat jamak & qasar serta serta cantuman keduanya?
Arman, KL
Jawapan: 1) Boleh mencuci pakaian solat dalam mesin pembasuh jika pakaian itu tidak terkena najis atau tidak bercampur dengan pakaian lain yang terkena najis yang menyebabkan ia bercampur baur dalam mesin tersebut. Proses pencucian dalam mesin basuh juga mengalirkan air dan bahkan melalui proses pembilasan sehingga pakaian solat itu menjadi bersih.
Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin , 1 X dibilas dengan air sabun dan 2 X dibilas dengan air biasa, sudah memadai.
2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini dalam senarai soalan mengikut kategori

8. Menyimpan Aib Sendiri.Soalan: Bagaimanakah pendapat ustaz tentang seorang gadis telah diperkosa berbagai-bagai masalah akan timbul. Terutama apabila ada lelaki yang ingin melamarnya. Pada pandangan ustaz adakah patut si gadis ini memberitahu atau menceritakan segala peristiwa silam yang telah menimpa dirinya atau menyimpan sahaja rahsia itu sehingga ke akhir hayatnya?
Yati ,KL
Jawapan: Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri, bahkan kadangkala pengalaman yang dihadapinya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa. Dalam hadis Rasulullah SAW juga ada diterangkan agar seseorang itu menutup aib orang lain jika ia mengetahuinya agar tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar. Demikian juga tentang aib diri sendiri adalah lebih baik menutup aib tersebut atau menyimpan rahsia itu hingga ke akhir hayat, kerana perkara itu lebih baik untuk diri anda dan untuk pasangan yang melamar anda. Aib yang tidak diketahui oleh orang lain itu bererti telah dilindungi atau ditutupi oleh Allah, maka tidaklah baik jika kita pula cuba membuka sesuatu yang telah ditutup oleh Allah agar orang lain mengetahuinya. Sebaliknya kita bersyukur kepada-Nya kerana telah menutup aib atau pengalaman buruk masa silam kehidupan kita. Wallahu A'lam.

9. Melakukan OnaniSoalan: Apa hukumnya sekiranya seseorang lelaki itu mengeluarkan air maninya dengan sengaja (Melancap). Sedangkan ia masih belum beristeri. Godaan persekitaran adalah amat berat sekali untuk ditanggung oleh kami. Jadi kami merasakan daripada melakukan perzinaan adalah lebih baik kami memuaskan nafsu kami dengan sendiri. Tolong berikan jawapan kepada saya dengan segera?
Abdul Wahab ,KL
Jawapan: Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya sendiri termasuk suatu perkara yang merosak unsur etika dan adab. Para ulama sendiri berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain mengatakan haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya makruh.
Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan mereka adalah bahawa Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak isteri. Dalam ayat Al Quran dijelaskan: "Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas". (Al Mukminun ayat 5 - 7) Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi. Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang dikhuatirkan akan berbuat zina maka wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti kaedah "Jika berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".
Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' . Dan diantara yang berpendapat mubah ialah Ibnu Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.
Cara yang paling baik untuk bertaubat dari pekerjaan "melampaui batas" ini dengan banyak berpuasa, berzikir dan jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya. Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah agar syahwat kita terpelihara.

10. Makan Makanan yang Tidak Disembelih Cara IslamSoalan: Saya bekerja dikapal yang belayar diserata dunia. Makanan daging dan ayam dikapal tidak disembelih secara islam ,kerana pelabuhan yang disinggahi adalah negara yang tidak langsung ada daging yang halal. Kapal terpaksa membeli kerana pelayaran kami dilautan memakan masa berbulan bulan dan pelabuhan berikutnya tidak juga memungkinkan mendapat makanan daging halal. Bagaimanakah hukum orang islam yang terpaksa makan daging yang tidak disembelih itu. Makanan lain saperti sayur dan ikan adalah terhad dan tiada bekalan yang mencukupi?
Roslan ,KL
Jawapan: Memakan makanan yang tidak disembelih hukumnya sama dengan memakan bangkai, sedangkan memakan bangkai itu hukumnya haram. Kecuali dalam keadaan darurat maka makanan yang haram tadi hukumnya harus untuk dimakan. Yang dimaksudkan dengan darurat disini seperti dalam berjuang, menempuh perjalanan yang panjang serta dalam keadaan lain yang bukan bertujuan untuk berbuat maksiat. Namun dalam masalah pekerjaan bukanlah termasuk dalam kategori darurat, kerana masih banyak pekerjaan lain yang dapat menyelamatkan diri kita daripada memakan yang tidak disembelih cara Islam. Kecualilah tidak ada pilihan lain, dan itu satu-satunya pekerjaan yang ada, namun begitu kita dituntut merasa tidak redha memakan benda yang haram tadi.
Berusahalah untuk membetulkan kehidupan ke jalan yang benar dan diredhai Allah, kerana makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging. Jika ia terdiri dari makanan yang haram sudah tentu akan menimbulkan mudarat dalam diri kita bahkan di akhirat kelak akan dicuci dengan api neraka. Oleh sebab itu sebelum ia berlarutan berusahalah untuk menghindarinya agar kehidupan kita diberkati Allah di dunia dan akhirat, insya Allah.

Tidak ada komentar: